Skip to main content

Featured

Kembara Pengubat Rindu

 Kembara Pengubat Rindu Alhamdullilah, kami telah berjaya mengadakan satu pengembaraan setelah hampir 2 tahun kami tidak ride bersama-sama. Ride terakhir kami adalah Ride Himalaya pada tahun 2019. Route kami kali ini adalah: Kuala Terengganu - Sungai Petani - Hatyai - Yala - Pattani - Betong - Penang - Jeli - Kuala Terengganu Day 01: 14 May 2022 Kuala Terengganu - Sungai Petani (412 km) Kami memulakan perjalanan agak lewat sikit harini kerana aku terpaksa menunggu isteriku tiba di Kuala Terengganu dari Kuala Lumpur menaiki kapal terbang. Kapal terbang AirAsia mendarat pada pukul 10:50 pagi di lapangan terbang Kuala Terengganu. Selepas saja makan tengahari kami terus pulang rumah untuk bersiap-siap. Kami memulakan perjalanan pada pukul 12:40 tengahari. Kami melalui Banjaran Titiwangsa (Jeli - Gerik) yang mengambil masa 4 jam 30 minit untuk sampai ke Castella Cafe. Cuaca harini sungguh panas sepanjang perjalanan. Sampai di sini saja, isteriku terus terjun dalam air sungai sangat sejuk. T

TRAVELOG: PENGEMBARAAN SOLO (COUPLE) DI 1000 CORNERS & GOLDEN TRIANGLE: 22-30 MARCH 2014

Travelog: Pengembaraan Solo (Couple) di 1000 Corners & Golden Triangle (22 - 30 March 2014)
Alhamdullilah dengan rahmat dan kudratNya, kami telah berjaya melakukan satu pengembaraan solo (couple) pertama kali di Bumi Gajah Putih, Thailand yang mengambil masa selama 9 hari 8 malam yang meliputi jarak 5,600km. Masa yang kami ada adalah terhad kerana cuti sekolah hanyalah seminggu sahaja, tapi perjalanan kami kali ini sungguh adventures dan memenatkan.
Hari-1: Semenyih - Dannok - Phat Thalung - Nakhon Si Thamarat - Surat Thani 
  • Jarak: 900 km
  • Masa: 13 jam
  • Hotel: Night Inn Hotel (N 09.11881, E 99.33594) - Baht 400
  • Minyak: Baht 600 (Started from Border)
Kami memulakan perjalanan jam 7.30 pagi setelah doa dibaca. Kami bersyukur kerana cuaca pada harini sungguh baik dan kenderaan lain tidak terlalu banyak. Aku memacu kudaku pada purata kelajuan 160 km/jam sepanjang PLUS Highway ke Utara. Cabaran utama kami adalah mengantuk yg teramat sangat. Kami berhenti sebanyak 3 kali untuk mengisi minyak dan membasuh muka di Petronas R&R Tapah, R&R Sg Perak dan Petronas Changlun.
image
Seperti kebiasaan, kami berhenti makan tengahari di Restoren Cendol Pulut Hj Johari, Changlun. Favourite kami, cucur badak dengan cendol pulut, memang best.
image
Kami seterusnya membeli insuran motor berhampiran Petronas Changlun hanyalah 2-3km dari restoren cendol. Urusan kami di Immigration Malaysia - Thailand berjalan lancar, hanya mengambil masa setengah jam sahaja. Kami meneruskan perjalanan melalui Route 4 sehingga Phatthalung. Kami berhenti di Masjid Darul Islam, Phatthalung (N 7.617068, E 100.086192) untuk solat jammak qasar Zohor - Asar.
image

Kami meneruskan perjalanan menyusuri Route 41 sehingga melalui Nakhon Si Thamarat. Isteriku memintaku memberhentikan kenderaan apabila melihat gerai cempedak di  tepi jalan. Buah-buahan di Thailand memang best.
image
Kami meneruskan perjalanan ke Night Inn Hotel, Surat Thani menggunakan Route 44 dan Route 4009. Hotelnya agak menarik kerana setiap biliknya mempunyai parking masing-masing, biliknya luas  dan harganya tersangat murah (Baht 400). Cuma tilamnya agak keras tapi bagiku tak menjadi masalah.
image
Hari-2: Surat Thani - Chumphon - Prachuap Khiri Khan - Phetchaburi - Ratchaburi - Nakhon Pathom - Suphanburi - Chai Nat
  • Jarak: 843 km
  • Masa: 13 jam
  • Hotel: Chai Nat Inn (N 15.18271, E 100.13908)
  • Minyak: Baht 2,335
Seawal jam 7 pagi kami memulakan perjalanan menuju ke Restoren Nuri di Lang Suan,Chumphon (N 09.91680, E 099.06097) (68km dari Night Inn Hotel) untuk bersarapan di sana. Menu pagi ni, nasi goreng kampung, telur dadar dan teh ‘o’ ais limau.
image
Aku terus ke belakang restoren untuk melihat sendiri status pembinaan Masjid Lang Suan. Masjid ini telah sebulan beroperasi walaupun belum siap sepenuhnya.
image
image
Kami meneruskan perjalanan menggunakan Route 41 sehingga Daerah Chumphon dan menukar ke Route 4. Hujan turun dengan renyai dari Chumphon sehingga Hua Hin, Prachuap Khiri Khan. Jalan agak licin, kami menyusuri High Way Route 4 dengan berhati-hati. Kami singgah di station minyak PTT untuk mengisi minyak dan berehat seketika. Kami beli pisang bakar special untuk memanaskan badan; enak sekali.
image
Kami meneruskan perjalanan melintasi Ratchaburi dan seterusnya Nakhon Pathom (55km dari Bangkok).
Kami berhenti di Masjid Pakistan (Pathan) (N 13.824329, E 100.075701) untuk menunaikan tanggungjawab kami. Sesudah solat, Pengerusi Masjid, Haji Ahmad (Thai- Pakistan) menjemput kami ke rumahnya. Kami beberapa kali menolak jemputannya dengan baik kerana hari sudah lewat, tapi beliau masih lagi menjemput kami. Kami membuat keputusan singgah sekejap di rumah beliau, lebih kurang 3km dari masjid. Kami telah dijamu dengan hidangan yang istimewa sup daging dan kari kambing. Hj Ahmad (kemeja putih) merupakan salah seorang AJK dalam Pelesenan Halal di seluruh Thailand. Kami juga mendapat tahu bahawa isterinya sudah 16 tahun terlantar sakit di rumahnya. Kami melawat isteri beliau dan berdoa  pada tuhan agar disembuhkan penyakit isteri beliau.
image
Pengembaraan kami diteruskan kembali, suasana pun mulai gelap. Aku melalui Route 321 - Route 357 dan Route 340 untuk ke Chai Nat. Kami sampai di Chai Nat jam 9.30 mlm, kami terus mencari hotel yang berhampiran. Kami menginap di Chai Nat Inn (N 15.18271, E 100.13908). 
Hari-3: Chai Nat - Nakhon Sawan - Kamphaeng Phet - Tak - Lampang - Lamphun - Chiang Mai
  • Jarak: 534 km
  • Masa: 9 jam
  • Hotel: Al-Farooq Hotel (N 18.77051, E 99.00046) - Baht 650
  • Minyak: Baht 735
Alhamdullilah aku sempat solat subuh secara berjemaah di Masjid Muhammadiyah, Chai Nat yang terletak 1 km dari Chai Nat Inn. Terdapat satu jemaah tabligh di sana dan salah seorang daripadanya fasih berbahasa melayu, Hj Abdul Rahman berasal dari Bangkok.
image
Kami meminta bantuan jemaah masjid untuk menunjukkan kami restoren muslim sekitar Chai Nat. Mereka membawa kami ke Restoren Nasi Minyak (N 15.17741, E 100.12901).
image
Setelah bersarapan pagi, kami meneruskan perjalanan menggunakan Route 4 merentasi Nakhon Sawan, Kamphaeng Phet, Tak menuju ke Lampang. Sepanjang jalan menuju ke Lampang terdapat banyak pokok berbunga seakan-akan bunga sakura yang berbagai warna. Sungguh cantik. Kami sampai Lampang jam 12.30 tengahari dan terus menuju ke Masjid Al-Falah, Lampang.
image
Kami bertanya dengan jemaah masjid, restoren muslim. Mereka membawa kami ke Restoren Nara (N 18.28469, E 99.50035) hanyalah 200m dari masjid. Towkey restoren, En. Adnan (t-shirt biru) berasal dari Narathiwat, memudahkan kami berkomunikasi. Masakannya memang best mengingatkan ku masakan ibuku di kelantan; Masak Gulai Ayam Kampung, Sup Ekor dan banyak lagi. Isteriku membungkus gulai ayam kampung untuk dibawa ke Chiang Mai.
image
Sesudah menjamu selera kami ke masjid untuk menunaikan solat zohor secara berjemaah. Ahli jemaah masjid memang peramah cuma faktor bahasa yang menghalangku untuk berkomunikasi dengan lebih lanjut. Aku sempat bergambar dengan sebahagian dari ahli jemaah.
image
Kami meneruskan perjalanan dari Lampang ke Chiang Mai menggunakan Route 11 , sejauh 90km dengan laluan berbukit-bukau dan corner-corner yang agak mencabar di Lamphun.
image
Kami sampai di Hotel Al-Farooq, Chiang Mai (N 18.77051, E 99.00046) jam 3.30 petang. Hotel ini merupakan hotel muslim yang pertama di Chiang Mai. Kami terkejut hotel yang begitu besar tapi harganya terlalu murah Baht 650 per malam.
image
Kami mengambil peluang ini untuk keluar bersiar-siar di Chiang Mai. Tempat yang pertama yang kami lawati adalah Masjid Hadayatul Islam Banhew (N 18.79455, E 98.98642)
image
Aku menunaikan solat asar dan sempat bergambar dengan 2 Iman di Masjid Hadayatul selepas solat. Haji Ibrahim (Chinese - Thai) dan Haji Abdul Hadi (Melayu- Thai). Masjid ini dipelopori oleh masyarakat cina yang berhijrah ke sini. Bangunan masjid tersegan indah di tengah-tengah bandar Chiang Mai.
image
Bersebelah dengan masjid, terdapat halal street, anda boleh membeli barangan halal disekitar halal street. Mengikut Iman Hj Abdul Hadi, kawasan ini agak meriah pada hari jumaat selepas solat jumaat, apabila gerai-gerai makanan dibuka disepanjang jalan ini.
image
Bersebelah dengan Halal Street, Night Bazaar Street yang menghidupkan bandar Chiang Mai pada waktu malam. Terdapat banyak barang-barang yang boleh dibawa pulang ke Malaysia sebagai oleh-oleh.
image
Hujan turun dengan lebatnya pada petang itu, jadi kami mengambil keputusan untuk pulang ke Hotel. Berhadapan dengan hotel Al-Farooq terdapat banyak restoren muslim yang menghidangkan berbagai juadah. Kami makan malam di Restoren Ikhwan, menu utama kami tom yam, kerabu mangga dan kerabu seafood, memang best sangat dan harganya memang murah.
image
Hari-4: Chiang Mai - Mae Rim - Mae Taeng - Pai - Mae Hong Son (1864 corners)
  • Jarak: 245 km
  • Masa: 4 jam
  • Hotel: Ngamta Hotel (N 19.290852, E 97.966179) - Baht 700
  • Minyak: Baht 1,375
Aku mengambil kesempatan berada di Chiang Mai untuk bersolat subuh di masjid yang berhampiran dengan hotel, iaitu Masjid Changlan Al-Yamiah (N 18.76904, E 99.00015), 500m dari Hotel Al-Farooq.
image
Kami bersarapan di gerai bersebelahan hotel. Isteriku hanya makan gulai ayam kampung yang dibawa dari Lampang tapi aku mencuba kew tiu goreng. Memang terbaik. Aku mengambil gambar bersama tuan gerai tersebut. Kami hanya menggunakan bahasa ayam dan itik untuk berkomunikasi. Insyallah aku akan pelajari Bahasa Thai tidak lama lagi.
image
Kami meneruskan perjalanan dari Chiang Mai ke Mae Rim (Route 107) dan berhenti sekejap di station minyak Petronas disitu untuk mengisi minyak. Ini station minyak petronas yang ke-3 yang kali dapat kami perhatikan sepanjang jalan; selepas di Bandar Tak dan Chiang Mai.
image
image
Kami meneruskan kembali perjalanan kami dengan penuh debaran. Dari Mae Rim kami menggunakan Route 1095 ke Mae Taeng dan ke Pai.
Perjalanan menuju ke Pai memang terlalu mencabar dengan corner yang sangat tajam mendaki dan menurun bukit-bukau. Jaraknya tidaklah jauh, hanya lah 120km, kami mengambil 2 jam untuk menyudahkan. Terdapat banyak kereta pick up dan van 12 seater jenis Toyota Commuter mengangkut penumpang. Corner yang paling berbahaya adalah berbentuk “U” sambil mendaki ataupun menuruni bukit. Terdapat lebih daripada 5 corner berbentuk “U”. Berhati-hati jangan memasuki line arah bertentangan kerana banyak kali saya berselisih dengan lori 6 tayar dikawasan ini. Cara fokus/ view mata hendak betul supaya dapat mengurangkan blind spot yang terlalu banyak. Gear yang betul semasa mengambil corner; saya mengunakan gear 1 atau 2 pada corner “U”. Isteriku sentiasa menjadi mata ke-3 dan ke 4 ku untuk memerhatikan kenderaan yang bergerak dari arah yg bertentangan. Permukaan jalan di kawasan corner tidak begitu rata, sekiranya jentera anda memiliki suspension mode berbagai pilihan; tukarlah kepada “Mode Sport” supaya suspension lebih tegak (firm). Jalan disini tiada kaki lima dan tiada rail guard. Kami berhenti sekejap di Check Point Tentera (29km sebelum Pai)(N 19.26768, E 98.59137). Aku dapat perhatikan ketinggian kawasan ini pada GPS ku adalah 1433m di atas aras laut.
image
Perjalanan diteruskan dari Check Point ke Pekan Pai. Terdapat 2-3 perkampungan disini; mereka adalah petani. Terdapat sawah padi yang luas dikawasan ini. Kami juga melintasi Pusat Penyelidikan Padi Thailand di kawasan ini. Kami tak dapat mengambil gambar yang banyak di kawasan ini kerana keadaan jalan yang tidak mengizinkan tapi aku record dalam video Go-Pro.
Kami meneruskan perjalanan melintasi Pekan Pai yang agak happening. Terdapat banyak hotel / motel di kiri kanan jalan. Kami dapat perhatikan sekumpulan pelancong dari korea dan european menunggang skooter kecil bersiar di sekitar Pai.
Kami meneruskan perjalanan menyusuri 1864 corners. Kami berhenti sekejap untuk minum secawan kopi di  Kiew-Lom View Point (N 19.44613, 98.31901) dengan ketinggian 1439m dari aras laut.
image
image
Semasa kami sedang menghirup kopi dengan udara yang segar, 2 orang kanak-kanak dari salah satu etnik disana memperagakan pakaian traditional mereka datang ke arah kami untuk bergambar. Kanak-kanak tersebut bersorak keriangan apabila isteriku memberi mereka “pop-corn” yang kami beli dari station petronas.
image
Kami meneruskan kembali perjalanan kami dari Pai ke Mae Hong Son yang jaraknya hanyalah 120km. Likuannya hampir sama dengan jalan menuju ke Pai tapi jalan disini agak luas sedikit dan permukaan jalannya agak rata. Kami dapat perhatikan hutan-hutan disepanjang jalan kekuningan kerana terlalu kering kerana sudah lama tidak hujan. Terdapat berapa tempat yang hutannya terbakar dan masih lagi berasap.
Setelah 2 jam perjalanan akhirnya kami sampai di Bandar Mae Hong Son. Mae Hong Son (MHS) adalah sebuah bandar yang menarik dan unik. Kami terus ke Mae Hong Son Chamber of Commence yang terletak selepas Pejabat Pos Mae Hong Song untuk mendapatkan Sijil Pengiktirafan 1864 Corners yang berharga Baht 40 setiap satu.
image
Seterusnya kami ke satu-satunya restoren muslim di Mae Hong Son, yang terletak bersebelahan dengan Masjid Nuruth Taqwa MHS. Nasi Ayam menjadi menu tengahariku, alhamdullilah. Ingatan kami masih lagi teringat pada corner yg kami lalui selama 4 jam itu, Alhamdullilah kami bersyukur dapat sampai kesini dengan selamatnya.
Bagi isteriku inilah ride yang paling memenatkannya, selama 4 jam, beliau tidak dapat bersandar pada top box. Kami terus ke Ngamta Hotel yang terletak berhadapan dengan Pejabat Pos MHS. Hotel yang best dan selesa untuk merehatkan tubuh yang kepenatan. Isteri kagum dengan dekorasi tuala yang berbentuk gajah yang berdiri dan duduk yang berada diatas katil.
image
Setelah solat asar kami keluar bersiar-siar di Bandar Mae Hong Son. Bandarnya kecil saja. Semasa meronda-ronda itu, isteriku terlihat penjual tembikai ditepi jalan bersebelahan dengan lapangan terbang MHS, apa lagi jom makan tembikai, terbaik!
image
Aktiviti pusing-pusing diteruskan lagi, sehinggalah kami ternampak Gerai Roti Pisang ditepi jalan dihadapan pejabat pos. Penjualnya seorang mak cik yang berusia awal 70an masih lagi gagah untuk menebar roti. Kami mengorder 2 Roti Pisang Special.
image
Pada sebelah malamnya, kami keluar sekali lagi untuk mencari t-shirt dan sticker untuk dibawa pulang ke Malaysia. Kami ternampak 4 buah motorsikal malaysia (1 x BMW GSA 1200, 1 x BMW GS 1200 dan 2 x BMW GS 650) parking disebelah bilik kami.
image
Hari-5: Mae Hong Son - Pai - Chiang Mai - Chiang Rai - Mae Sai
  • Jarak: 494 km
  • Masa: 13 jam
  • Hotel: Yunan Hotel (N 20.40753, E 99.88562) - Baht 500
  • Minyak: Baht 600
Harini aku bersolat subuh secara berjemaah di Masjid Nuruth Taqwa MHS. Aku sempat berbual-bual dengan Iman Masjid dan Mudir Sekolah Tahfiz di Bangladesh yang dalam rangka lawatannya ke Thailand untuk meminta derma untuk madrasah beliau. Kami berbual2 di dalam bahasa Arab.
image
image
Setelah solat aku pulang ke Hotel dan terserempak dengan group GS ini yang sedang mengisap rokok berhampiran lobi hotel. Aku berbual-bual dengan Haswandi dan Faizal pasal ride kami. 
image
Mereka akan menuju ke perkampungan Etnik Karen berhampiran Mae Hong Son pada pagi itu. Destinasi kami seterusnya adalah Mae Sai. Kami juga sempat bergambar dengan Ayu, satu-satunya rider perempuan dalam group mereka.
image
Kami bercadang untuk bersarapan di MHS tapi restorennya dibuka lewat. Jadi kami pun membuat keputusan untuk bersarapan di Pai. Kami sempat bergambar di tepi Pintu Gerbang Utama MHS.
image
Selamat tinggal MHS, kami terus meluncur dengan kudaku menyusuri corner 1864, udara nyaman dan suhunya sejuk dalam 17-20 degree. Kami berhenti sekejap di Phang Ma Pha View Point untuk bergambar dengan suasana berkabus.
image
image
Kami meneruskan perjalanan menuju ke Masjid Israq (N 19.36017, E 98.440144) di Pai untuk mencari kedai makan muslim disekitar masjid. Aku terserempat dengan Ustaz Ahmad Al Hafiz (18 tahun) dari Pattani, salah seorang pengajar madrasah tahfiz yang berada disebelah masjid. Terdapat 32 pelajar tahfiz disini. Aku meminta tolong ustaz Ahmad untuk menunjukkan kami restoren muslim.
image
image
Kami bersarapan pagi dengan Ustaz Ahmad di sebuah restoren muslim (N 19.35755, E 98.43855). Ustaz Ahmad memberitauku, beliau akan melanjutkan pelajarannya di Johannesburg, South Africa selepas bulan ramadan tahun ini. Seorang Datuk yang dermawan dari Malaysia telah setuju menanggung pembelajaran beliau di sana. Kami doakan Ustaz akan berjaya di dunia dan di akhirat, amin.
image
image
Aku mencuba makan nasi goreng kampung Pai, umm best. Alhamdullilah.
image
Selepas bersarapan kami meneruskan perjalanan menuju ke Chiang Mai untuk makan tengahari. Kami makan di Restoren Ramlah Seafood, yang berada berhadapan dengan Hotel Al-Farooq.
Kami meneruskan perjalanan kami ke Chiang Rai menggunakan Route 121, Route 118 dan Route 1. Kami sampai di Chiang Rai jam 5.00 ptg dan terus menuju ke Masjid Darul Aman, Chiang Rai (N 19.907757, E 99.829196)
image
image
Subhanaallah, bangunan masjid besar dan binaan seakan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, cuma mereka menggunakan bata berwarna merah. Setelah bersolat jamak asar dan zohor, kami ke restoren muslim bersebelahan masjid.
image
Kami meneruskan perjalanan ke Mae Sai menggunakan Route 1. Mae Sai adalah bandar terakhir di Thailand sebelum Myanmar. Kami sampai disana jam 8.30 malam. Kami terus ke Hotel Yunan. Pengusaha hotel adalah seorang muslim yang berasal dari Yunan, China.
image
image
Kami keluar bersiar di Mae Sai untuk memerhatikan suasana malam disini. Kami makan Roti Pisang Special dan buah berangan. Happening juga waktu malam disini.
image
Hari-6: Mae Sai - Golden Triangle - Phayao - Lampang - Tak - Kamphaeng Phet - Nakhon Sawan - Sing Buri - Ang Thong - Ayutthaya
  • Jarak: 861 km
  • Masa: 15 jam
  • Hotel: Ayothaya Riverside Hotel (N 14.35593, E 100.56244) - Baht 1,000
  • Minyak: Baht 1,570
Aku menunaikan solat subuh secara berjemaah di Masjid An-nur, Mae Sai. Kebanyakan jemaah adalah campuran (mix) Thai-Chinese. Azan subuh dilaungkan tidak menggunakan pembesar suara, sebaliknya muazin akan laungkan azan dipintu masuk utama masjid; sama seperti masjid-masjid di Chengdu and Beijing, China.
image

Ada diantara jemaah, mengambil kesempatan untuk duduk diatas kudaku. Mereka hanya menunjukan “thumb up”, maknanya, best lah tu!
image
Setelah bersiap-siap, kami pun ke restoren muslim yang berada bersebelahan dengan masjid untuk bersarapan. Aku dapat perhatikan kebanyakan pekerja disini adalah rakyat Myanmar berdasarkan bedak sejuk yang mereka pakai.
image
image
image
 Isteriku mengajakku ke sempadan untuk beli buah berangan goreng untuk dibuat bekalan bagi mengelak mengantuk katanya. Kami ke sempadan sekali lagi. Isteriku sempat menemuramah penjual buah berangan dah jadi macam kawan baiklah pulak.
image
image
Destinasi kami seterusnya adalah Golden Triangle yang berada di daerah Chiang Saen. Jaraknya hanyalah 37km dari Mae Sai menggunakan Route 1290 untuk kesana. Golden Triangle merupakan sempadan tiga negara Thailand, Laos dan Myanmar yang dipisahkan dengan 2 batang sungai iaitu Sungai Ruak dan Sungai Mae Khong.
image
image
image
image
image
Golden Triangle kami tinggalkan menuju ke Mae Chan melalui Route 1016 dan terus ke Lampang untuk makan tengahari dan solat disana melalui Route 1 melintasi Chiang Rai dan Phayao. Kami sampai di Restoren Nara, Lampang (N 18.28469, E 99.50035) jam 2 petang.
Kami meneruskan lagi perjalanan kami menuju Ayutthaya menggunakan Route 1 melintasi Bandar Tak, Kamphaeng Phet dan Nakhon Sawan. Di Chai Nat kami menukar ke Route 32 melintasi Sing Buri, Ang Thong dan terus ke Ayutthaya. Akhirnya kami sampai di sana jam 11 malam. Hampir sejam kami berpusing-pusing untuk mencari hotel Ayothaya Riverside Hotel. Bagiku inilah ride yang paling memenatkan dan menguji ketahanan fizikal, minda dan telinga (dari bebelan isteri yang kepenatan).
Bagiku, Alhamdullilah kami sampai dengan selamat. Tidur time!!.
Hari-7: Ayutthaya - Pathum Thani - Nonthaburi - Bangkok - Samut Sakhon - Samut Songkram - Phetchaburi - Prachuap Khiri Khan - Chumphon - Surat Thani
  • Jarak: 749 km
  • Masa: 13 jam
  • Hotel: Night Inn Hotel (N 09.11881, E 99.33594) - Baht 400
  • Minyak: Baht 1,910
 Kami memulakan perjalanan jam 7.30 pagi menuju ke Restoren Muslim yang kami perolehi info dari Hotel. Kami juga berkesempatan untuk posing kat hotel sebelum bertolak ke Surat Thani.
image
image
Ini adalah peta Ayutthaya semasa pemerintahan Islam pada tahun 1350 - 1767 AD sebelum kejatuhannya.
image
Kami bersarapan di sebuah perkampungan islam di Ayuthaya, terdapat banyak restoren muslim disini. Anda boleh datang kesini, lokasi adalah N 14.34353, E 100.56149. Kami makan nasi berlauk; gulai daging dan ayam.
image
image
Kami meneruskan perjalanan menuju ke Surat Thani melalui Pathum Thani dan Nonthaburi menggunakan Route 9 yang kesesakan jalanrayanya terlalu teruk. Aku melalui lane laju yang dikhaskan untuk kereta untuk mengelakkan kesesakan; hampir-hampir aku disaman polis Thailand. Mujurlah lepas, Alhamdullilah. Hampir sejam kami berada di Route 9. Kami memasuki Route 35 melintasi sebahagian kecil Bangkok, Samut Sakhon, Samut Songkhram dan bertemu dengan Route 4 di Phetchaburi.
Cuaca sungguh panas, suhu 40 degree, membuatkan kami cepat penat dan mengantuk. Kami berhenti di gerai yang menjual buah kelapa laut yang juga dikenali sebagai Buah Tal bagi masyarakat kelantan. Di Thailand, mereka memanggilnya “Lu Tal” = Buah Tal.
image
image
image
image
Inilah pokok tal yang selalu dikaitkan dengan satu epic dalam cerita wayang kulit di kelantan; Raja Seri Rama dan Hanuman. Mengingatkanku pada wayang kulit yang kulihat di sebuah Wat di Berchang, Tanah Merah, Kelantan semasa zaman kanak-kanakku.
image
image
Kami meneruskan perjalanan melalui Hua Hin, Prachuap Khiri Khan. Sekali lagi kami berhenti apabila melihat tembikai yang masak ranum ditepi jalan. Memang sedap. Dapat meredakan sedikit kepanasan.
image
Kami seterusnya menuju ke R&R Khun Sarai (N 10.58149, E 99.11602) yang terletak 10km sebelum Chumphon. Sebuah R&R yang sangat selesa kerana terdapat satu ruangan makanan halal yang menyediakan 10 buah gerai makanan yang menghidangkan aneka makanan seperti Mee Sup, Sup Daging, Nasi Campur, Roti Pisang dan banyak lagi. Kami enjoy makan disini.
image
image
image
Mereka juga menyediakan musalla yang selesa. Kami bersolat jamak zohor dan asar disini.
image
Isteriku juga sempat membeli Ikan Masin Tenggiri untuk dibawa pulang ke rumah
image
Kami meneruskan perjalanan kami menggunakan Route 41 hinggalah kami sampai Night Inn Hotel di Surat Thani jam 9.00 malam. 
Hari-8: Surat Thani - Nakhon Si Thammarat - Phat Thalung - Songkla - Penang
  • Jarak: 555 km
  • Masa: 7 jam
  • Hotel: Hotel UITM, Penang (N 05.38210, E 100.41523) - RM 110
  • Minyak: Baht 500 + RM 80
Kami meneruskan perjalanan dari Surat Thani ke Phat Thalung melalui Route 41. Kami bersarapan pagi di sebuah restoren muslim di Phat Thalung (N 07.49350, E 100.06493).
image
image
Perjalanan kami diteruskan lagi sehingga Dannok, Sempadan Thailand- Malaysia. Kami berhenti sekejap di Restoren Nurlaila yang terletak di Pekan Dannok. Lega rasanya dapat minum air tebu dan kelapa yang sejuk. Alhamdullilah.
image
Urusan di Immigration berjalan dengan lancar. Welcome back to Malaysia.
image
Kami meneruskan perjalanan dari Sempadan Bukit Kayu Hitam ke UITM Pulau Pinang yang jaraknya hanya 140km. Harini sungguh panas, setibanya   kami di Pulau Pinang, hujan turun dengan lebatnya, Alhamdulillah barulah badan kami rasa sejuk sedikit kerana sepanjang jalan suhunya terlalu panas 35-40 degree Celsius.
Kami mengambil kesempatan ini untuk menjenguk anakku di UITM Pulau Pinang. Kami jugak mengambil kesempatan untuk berehat seketika disini. Hotel UITM memang terbaik, luas dan selesa.
Hari-9: Penang - Semenyih
  • Jarak: 375 km
  • Masa: 7 jam
  • Minyak: RM 40
Kami hanya bersarapan di Hotel harini. Kami menghabiskan masa berbual-bual dengan anak. Kami bertolak pulang ke Semenyih agak lewat, jam 1 tengahari.
image
image
image
Warning lampu belakang keluar pada desk board motorku, jadi kami membuat keputusan untuk singgah di Guan How Superbike Centre (N 04.52856, E 101.13053) di Simpang Pulai, Perak untuk menukar mentol lampu disana. Inilah salah satu kedai motor besar yang beroperasi pada hari ahad.
image
Setelah siap urusan motor, kami terus bergerak ke Restoren Capati (N 04.52868, E 101.13053) yang terletak berhampiran kedai motor itu. Semasa kami sedang menjamu selera sebuah motor Versys 1,000 berwarna putih membunyikan hon nya. Memang aku kenal, itulah motor Hj Dol, Ketua Biro Keagamaan dan Kebajikan, SSR. Kami berpelukan kerana sudah lama tidak bertemu. Haji Dol bersama anaknya, Helmi, baru saja turun dari Cameron Highland setelah bermalam disana bersama keluarganya.
image
image
image
Kami bergerak dalam berkumpulan. Aku menyuruh Hj Dol untuk mengetuai konvoi kami. Kenderaan dijalanraya terlalu sesak, memaksa kami untuk menggunakan lane emergency untuk keselamatan bersama.
Setibanya kami di Rawang, hujan turun dengan lebatnya dan kilat sabung menyabung. Penglihatan terbatas, aku menyalakan emergency light. Aku menumpukan sepenuh perhatian dalam pemanduanku. Dalam keadaan hujan yang lebat, kami terpisah. Aku berhenti di R&R Jejantas Sungai Buloh untuk menunggu Hj Dol yang tertinggal dibelakang.
image
Kami minum kopi “o” panas dengan nasi lemak bagi memanaskan tubuh yang kesejukkan.
image
image
Kami solat jamak Zohor dan Asar disini sambil menunggu Hj Dol. Rupa-rupanya Hj Dol berhenti di Petronas R&R Sungai Buloh.
Aku meneruskan perjalananku ke Semenyih. Alhamdullilah kami sampai di rumah dengan selamat jam 7.45malam.
— TAMAT—

Comments

  1. Tqvm atas perkongsian Hj..terbaek..

    ReplyDelete
  2. Sy cdg nk solo ride inshaAllah cuti skola ni.. Cikgu jugk mcm bini hj so lama sikit mrantau..nti mohon pncerahan haji..mohon hj pm no phone di email sy ye curl_82@hotmail.com

    ReplyDelete
  3. byk info sy dpt...terima kasih...

    ReplyDelete
  4. masjid/surau is a key point. Good plan

    ReplyDelete
  5. rujukan yg baik tuan. terima kaseh

    ReplyDelete
  6. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  7. Salam tuan, adalah route di video ini sama route yang tuan gunakan?

    https://www.youtube.com/watch?v=vXTBsRobXgo

    ReplyDelete
  8. Salam Tuan, saya bercadang nak berkereta mengikut route tuan, adakah ia bersesuaian?

    ReplyDelete
  9. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh , Pada 15 Jun 2019, Sabtu, saya berkereta dari Kuala Lumpur sebagai penumpang memasuki Thailand di Bukit Kayu Hitam langsung ke Hat Yai (bermalam) dan meneruskan perjalanan keesokan harinya. Sempat singgah solat di Masjid Lang Suan (yang kini telah siap), R&R Chumphon menikmati makanan halal, dan sampai di Bangkok pada malam hari. Pada 22 Jun, kami menaiki kapal terbang (Bangkok-Narathiwat) dan berkereta ke Pattani dan kemudian melalui Sungai Ko Lok ke Kota Bharu. Dari situ menaiki bas ke Kuala Lumpur pada 23 Jun 2019, Ahad. Catatan kembara tuan di Thailand bermotosikal sangat berfaedah terutama mengenai masjid-masjid dan tempat-tempat makanan halal. Kami bercadang melakukan kembara lagi di Thailand dan maklumat yang tuan bekalkan sangat membantu. Terima kasih, Wassalam.

    ReplyDelete
  10. terbaik ride aji ni..doakan saya agar diberi rezeki,masa dan tenaga pada masa depan untuk ride mcmni

    ReplyDelete

Post a Comment