HIKING EDITION: GUNUNG YONG BELAR (2181M)(REPEAT)(G7) Aku sekali lagi repeat hiking di Gunung Yong Belar dengan motif dan group yang berbeza. Kalini aku mengikuti group Qayyum Adventure dengan line-up yang teramai pernah aku ikuti iaitu hampir 100 orang (94 orang) berkampung dalam hutan. Aku membawa load yang lebih berat (15kg) sebagai latihan untuk hiking di G7 yang lain. Satu yang menarik untuk hiking ku kalini, aku sempat solat subuh berjemaah di Masjid Loging; bagi salam jer, terus lompat naik powil. Kedua aku berjaya buat kerja gila; trekking malam-malam buta dari Kebun Joe ke Masjid Loging yang jaraknya sejauh 7km selama 2 jam. Aku buat kerja gila ni bersama "partner in crime"ku, Irina. Ikuti perjalanan kembara hiking ku di bawah ni 1. Hiking Details Date: 03 January 2026 (Dayhike - No COT) Gogo: Qayyum Adventure Distance: 20.30 km (7 km trekking Kebun - Masjid) Elevation Gain: 1,241 m Duration: 15:30 hrs Peak Height: 2,181m 2. Line-up Lelaki : 1.Irfan 2.Faiz 3. Luqman...
Get link
Facebook
X
Pinterest
Email
Other Apps
HIKING EDITION: (G7) YONG BELAR (2181M)
HIKING EDITION: (G7) YONG BELAR (2181M)
Alhamdullilah, syukur kehadrat Illahi kerana secara rasminya aku telah berjaya menawan Gunung G7 pertamaku di Gunung Yong Belar, Loging, Gua Musang, Kelantan pada pukul 10:20 pagi 06 December 2025 yang lalu. Terima kasih ku ucapkan buat Outdoor Gank Adventure (OG) selaku penganjur yang telah merealisasikan impianku dan buat teman-teman hiking yang ku temui on-trek. Apa yang ku coret ini adalah sebagai pekongsian ilmu untuk dijadikan simple guideline pada mereka yang belum lagi sampai kesini ataupun menjadi ulangkaji bagi yang pernah menawannya.
1. Gunung G7
G7 merujuk kepada 7 buah gunung tertinggi di Semenanjung Malaysia yang ketinggiannya melebihi 7,000 kaki (sekitar 2,134 meter) dan menjadi cabaran utama bagi pendaki tempatan. Gunung-gunung tersebut adalah:
Gunung Tahan (2,187m)
Gunung Korbu (2,183m)
Gunung Yong Belar (2,181m)
Gunung Gayong (2,173m)
Gunung Chamah (2,171m)
Gunung Yong Yap (2,168m)
Gunung Ulu Sepat (2,161m)
2. Gunung Yong Belar
Gunung Yong Belar merupakan sebuah gunung yang terletak di negeri Kelantan Darul Naim dan sebagiannya menjadi sempadan dengan negeri Perak Darul Ridzuan. Gunung ini mempunyai ketinggian 2,181 meter (7,156 kaki). Yong Belar merupakan gunung tertinggi di Kelantan, kedua tertinggi di Banjaran Titiwangsa dan ketiga tertinggi di Semenanjung Malaysia.
3. Details: (SUUNTO Vertical 2)
Distance: 15.85 km (Return)
Elevation: 1,400 m
Duration: 14:24'22
Peak Height: 2,181m
4. Meet Point:
Masjid Jamek Long Tan
5. Summary
1:50am : Prepare / Meet up / Short Briefing
3:50am : 4WD Pickup
4:15am : Arrived Kebun Sayur / Exercise
4:30am : Start Hiking
5:45am : Arrived Kem Tudung Periuk & Regroup
6:15am: Arrived Simpang Air Terjun Pelaur / Solat Subuh
Aku bersama isteri telah bertolak 2 hari lebih awal daripada tarikh hiking ku kalini. Mula-mula aku bergerak dari Batu Rakit, Terengganu ke Gua Musang, Kelantan. Kami menginap di Hotel Mutiara, Gua Musang (04 Dec 2025) untuk semalam.
Sesudah bersarapan pagi di Restoren Kak Zah, Gua Musang, kami bergerak menuju ke Sungai Koyan. Kebiasaanya aku akan melalui laluan Gua Musang - Loging untuk ke Cameron Highland, malangnya laluan itu telah ditutup sementara waktu kerana terdapat insiden tanah runtuh di km 45 berhampiran Pos Blau.
Kami sampai di Cameron Highland pada pukul 1:00 tengahari. Aku berhenti di Ringlet untuk menunaikan solat jumaat di sini.
Selepas itu kami meneruskan perjalanan menuju ke Copthorne Hotel yang terletak di Kea Farm, Brinchang. Aku memang selalu menginap disini sekiranya bercuti di Cameron Highland.
Aku menyiapkan bag hiking awal-awal lagi kerana malam ini aku harus ke tempat berkumpul di Masjid Loging pada pukul 11:00 malam.
06 December 2025
Aku agak lewat sedikit bergerak dari hotel kerana membungkus makanan buat isteriku sebelum bergerak ke sana. Aku bergerak dari hotel pada pukul 11:45 malam dan sampai di Masjid Jamek Long Tan, Loging pada pukul 12:15 tengah malam.
Aku terus menuju ke kawasan parking khas di sebelah kiri masjid. Bayaran RM 10 untuk parking dikenakan. Abang Dee, pengurus parking agak sibuk malam tu kerana terlalu banyak kereta yang datang. Terdapat beberapa group selain OG yang bakal hiking pada harini. Aku rasa group OG yang paling ramai pesertanya.
Terdapat kemudahan toilet dan kiosk jualan yang berada di sini.
Anda sama sekali tidak dibenarkan parking di tepi masjid.
Suasana berkabus dan sangat sejuk. Bila aku check pada jam Suunto ku parking ni berada pada ketinggian 1,421m.
Aku adalah orang yang ke-35 (dalam group OG) sampai ke sini. Aku terus ke crew OG untuk mendapatkan baju t-shirt program yang telah aku tempah awal-awal lagi.
Jam 1:50 pagi kami semua berkumpul di kawasan astaka tepi masjid. Dhai dan crew OG telah memberi taklimat ringkas mengenai hiking kami pada pagi ini
Kami telah dikumpul berdasarkan Sub Laju, Sub Sederhana dan Sub Slow. Team Sub Slow bergerak menaiki Hilux (4WD) lebih awal dari group lain. Agak lama juga kami menunggu di masjid. Sebuah Hilux boleh memuatkan 20 orang peserta dalam satu trip.
Akhir sekali baru lah team kami (Sub Laju) dapat menaiki Hilux pada pukul 3:50 pagi.
Agak lewat juga kami bergerak, sampaikan aku sempat lima kali ke toilet, tak tahan sejuk dan berdebar kerana bakal hiking di gunung G7 yang pertama ku.
Perjalanan dari Masjid Loging ke Kebun Sayur menaiki Hilux mengambil masa selama 20 minit untuk 7 km perjalanan di jalan tanah merah. Bayangkan anda terpaksa berdiri beramai-ramai di belakang hilux yang melalui jalan offroad. Hilux terlompat-lompat dan huyu hayang dibuatnya. Cuba tengok video ni.
Kami sampai di Kebun Sayur pada pukul 4:15 pagi. Terdapat toilet di sini, apa lagi kami mengambil kesempatan ini untuk settle kan urusan yang sepatutnya. Setelah itu kami melakukan exercise keregangan sebelum memulakan perjalanan. Kami mengambil kesempatan untuk bergambar dahulu
Kebun Sayur - Pintu Rimba
Secara rasminya kami memulakan perjalanan pada pukul 4:30 pagi yang telah di pimpin oleh Guide Sub Laju iaitu Alias dan Dhai. Perjalanan dimulai dengan melalui celah-celah kebun sayur dan seterusnya laluan jalan tanah merah sehingga Pintu Rimba sejauh lebih kurang 300m.
CP#01: Kem Tudung Periuk
Perjalanan menuju ke Kem Tudung Periuk sejauh 2.3 km berjaya kami habiskan dalam masa 1 jam 15 min. Perjalanan turun dan naik macam roller coaster. Anda harus melalui 4 puncak tipu (False Peak) sepanjang laluan ini. Bagi ku laluan ini agak senang untuk disempurnakan.
Laluannya berkabus, aku menukarkan cahaya headlamp ku kepada warna kuning. Aku menggalakan hiker baru untuk memakai headlamp yang ada dua cahaya (putih dan kuning) dimana sekiranya laluan itu berkabus; lampu kuning harus dinyalakan. Aku memakai headlamp Fenix HP12R dan backup dengan Nitecore UT27.
Aku bergerak secara couple, aku buddy dengan Abg Ottamen.
Aku telah beberapa kali terantuk pada dahan pokok yang merentasi laluan kerana terlalu fokus pada akar dikaki, last-last kepala pulak sakit. Hehe. Hati-hati, sekali sekala pandang lah juga ke atas.
Akhirnya aku sampai di Kem Tudung Periuk pada pukul 5:47 pagi. Terdapat team lain yang sedang berkhemah di sini.
CP#02: Simpang Air Terjun Pelaur
Waktu subuh belum masuk lagi, so kami meneruskan perjalanan sehingga ke Simpang di Kem Pelaur. Jaraknya tidak jauh, hanya lah 500m, kami mengambil masa setengah jam. Kami sampai di sini pada pukul 5:45 pagi. Sebelum sampai ke situ terdapat terdapat satu curam yang sangat dalam dan sangat licin yang bertanah kuning. Aku terjatuh dan menggelongsor. Mujurlah aku sempat berpaut pada kaki Abang Ottomen yang berada dihadapanku. Terus aku pacakkan hiking stick dan kembali berdiri untuk mengatur langkah dengan lebih berhati-hati.
Di sini terdapat dua laluan; laluan sebelah kiri akan menuju ke Air Terjun Pelaur manakala laluan sebelah kanan menuju ke Kem Kasut. Aku bersolat Subuh di sini. Setelah solat kami meneruskan perjalanan.
CP#03: Kem Kasut
Section ini adalah section yang paling panjang dan mencabar tapi mempunyai pemandangan yang sungguh cantik. Jaraknya 2.4 km melalui hutan mossy berlumpur, kalau tersalah pijak kaki mungkin boleh tenggelam paras betis. Masa ni lah hiking stick memainkan peranannya untuk mengetahui kedalaman lumpur tersebut.
Aku banyak kali berhenti untuk bergambar di sini sehinggakan terpisah dengan Abang Ottomen.
Aku terus mengejar beliau dan akhirnya berjumpa balik. Beliau sudah 6 kali khatam Gunung Yong Belar ni. Beliau menunjukkan ku tempat yang biasa hiker akan berhenti dan mengambil gambar. Tempat ini ala-ala scene dalam cerita Lord of The Ring.
Aku bergambar dengan Abang Ottomen
Perjalanan diteruskan sehingga lah kami sampai di Kem Kasut pada pukul 8:45 pagi.
Kem ini dinamakan Kem Kasut kerana pihak yang membuka tapak perkhemahan ini menemui atau meninggalkan kasut di sekitar kawasan tersebut. Setelah kawasan tersebut dibersihkan, ia telah memberi kemudahan kepada pendaki-pendaki untuk menginap tanpa perlu membuka tapak perkhemahan yang baru. Kem ini boleh memuatkan sehingga 40 orang pada satu-satu masa.
Selain itu terdapat punca air yang bersih boleh digunakan di kem ini. Jarak untuk ke punca air terdekat adalah lebih kurang 3 minit perjalanan menurun ke kawasan lembah. Sebagai langkah keselamatan pendaki dinasihatkan agar tidak turun berseorangan ke kawasan punca air ini.
Kami adalah group yang pertama sampai disini; Aku, Shu, Abang Ottomen, Nazri, Adlie, Danial dan Adam. Semasa kami sampai di sini, terdapat satu group Hiker Cina yang telah siap memasang flying sheet dan memasak dibawahnya.
Tiba-tiba hujan turun dengan renyai-renyai semasa kami berada di sini. Aku melihat Shu kegelisahan kerana tidak tahan dengan kesejukan. Kami menunggu yang lain hampir sejam namun mereka tidak juga muncul, lalu aku mencadangkan kepada guide kami untuk meneruskan perjalaan naik ke puncak dan menunggu yang lain di sana.
CP#04: Puncak Yong Belar (2,181m)
Jam 9:30 pagi kami memulakan perjalanan menuju puncak yang berjarak 1.1km sahaja lagi. Agak mencabar pada permulaannya kerana kami terlalu lama menunggu di Kem Kasut menyebabkan kami kehilangan momentum untuk panjat lebih tinggi. Banyak laluan pacak dan berlumpur. Akar-akar kayu yang menjalar di setiap sudut. Akhirnya kami sampai di puncak pada pukul 10:20 pagi. Aku orang yang kedua sampai dipuncak dibelakang Nazri.
Alhamdullilah, secara rasminya aku berjaya menawan puncak G7 yang pertama; Gunung Yong Belar pada pukul 10:20 pagi 06 December 2025.
Sesi seterusnya adalah sesi photography.
Hujan turun dengan lebatnya semasa kami berada dipuncak. Aku berteduh dibawah flying OG yang agak kecik di satu sudut. Kami masing-masing mengeluarkan makanan untuk makan tengahari. Ada yang memasak maggi dan membancuh kopi dan teh. Aku mengeluarkan origini ku, kacang dan coklat untuk santapan tengahari ku.
Setelah hampir 2 jam kami berada di puncak, kami bergerak turun ke Kem Kasut.
Perjalanan turun berjalan lancar. Kami bertembung dengan group kami yang sedang memanjat naik ke puncak. Setiap kali berjumpa, pasti mereka akan bertanya mengenai jarak dan masa untuk sampai ke puncak.
CP#05: Air Terjun Pelaur
Sekali lagi kami menunggu di sini hampir 2 jam kerana arahan tidak clear. GOGO mungkin boleh perbaikinya di masa hadapan. Aku meminta izin untuk membawa team terawal iaitu seramai 9 orang untuk memulakan perjalanan turun. Semasa ini team kami dalam kesejukan maksimum. Akhirnya pada pukul 2:15 petang kami bergerak turun menuju ke Air Terjun Pelaur.
Kami sampai di sini pada pukul 3:40 petang. Kami mengambil peluang keemasan ini untuk membasuh kasut dan seluar kami yang kotor di sini. Airnya tersangat-sangat sejuk mengalahkan air coway kat rumah tapi berwarna sedikit gelap.
Aku bersolat Zohor dan Asar secara jamak di sini.
Pintu Rimba / Kebun Sayur / Masjid
Kami bergerak menuju ke Kem Tudung Periuk dan bertemu dengan seorang guide OG yang berkhemah di situ untuk membawa turun salah seorang dari group kami. Kami meneruskan perjalanan turun pada pukul 5:00 petang dari Kem Tudung Periuk.
Hari semakin gelap aku mengeluarkan headlamp dan terus dipakai. Target kami untuk keluar sebelum waktu Maghrib dari sini. Kami membuka langkah dan meneruskan hayunan kaki dengan sisa-sisa tenaga yang masih berbaki.
Aku terantuk sekali lagi, kali ini memang sakit. Lantak lah. Gerakan harus dipercepatkan lagi.
Terasa sangat jauh bila balik ni.
Alhamdullilah. Akhirnya aku sampai di Pintu Rimba pada pukul 6:30 petang. Aku bergambar di sini.
Aku meneruskan perjalanan menuju ke Kebun Sayur untuk mendapatkan Hilux untuk menuju ke Masjid Loging. Kami 7 orang yang terawal sampai di sini; Aku, Adam, Shu, Danial, Nazri, Adlie dan Izlan. Semasa kami sampai disini group cina yang kami jumpa di Kem Kasut telah berada di sini sedang deal dengan driver Hilux untuk membawa kami ke masjid. Mujurlah bilangan kami semua cukup 20 orang. Kalau tak terpaksalah tunggu.
Alhamdullilah kami dapat bergerak cepat. Kami dalam keadaan penat, sejuk dan berasak-asak dalam Hilux, no hal, asalkan kami dapat habiskan semua ini dengan cepat. Terlupa bagitahu, semasa berada dalam Hilux tiba-tiba si Izlan tak der. Haah sudah, kemana pulak budak ni?. Aku pandang Adam..mungkin dia jumpa geng kat dapur kebun. Hehehe. Takper lah dia naik next Hilux.
Kami sampai di Masjid Loging pada pukul 7:10 petang.
"Getting to the top is optional. Getting down is mandatory" - Ed Viesturs
Comments
Post a Comment