HIKING EDITION: GUNUNG YONG BELAR (2181M)(REPEAT)(G7)
HIKING EDITION: GUNUNG YONG BELAR (2181M)(REPEAT)(G7)
Aku sekali lagi repeat hiking di Gunung Yong Belar dengan motif dan group yang berbeza. Kalini aku mengikuti group Qayyum Adventure dengan line-up yang teramai pernah aku ikuti iaitu hampir 100 orang (94 orang) berkampung dalam hutan. Aku membawa load yang lebih berat (15kg) sebagai latihan untuk hiking di G7 yang lain.
Satu yang menarik untuk hiking ku kalini, aku sempat solat subuh berjemaah di Masjid Loging; bagi salam jer, terus lompat naik powil. Kedua aku berjaya buat kerja gila; trekking malam-malam buta dari Kebun Joe ke Masjid Loging yang jaraknya sejauh 7km selama 2 jam. Aku buat kerja gila ni bersama "partner in crime"ku, Irina. Ikuti perjalanan kembara hiking ku di bawah ni
1. Hiking Details
Date: 03 January 2026 (Dayhike - No COT)
Gogo: Qayyum Adventure
Distance: 20.30 km (7 km trekking Kebun - Masjid) Elevation Gain: 1,241 m Duration: 15:30 hrs
Seperti biasa aku datang lebih awal sehari. Kalini aku melalui jalan Gua Musang - Loging yang melalui jalan sementaranya disebabkan jalan utamanya runtuh hujung tahun lepas. Bayaran dikenakan sebanyak RM 5.00 untuk sebuah kereta dengan jarak perjalanannya sepanjang 2.7km. Keadaan jalannya agak baik walaupun tidak berturap.
Pondok tol; kenderaan yang besar RM 5.00 manakal yang kecil. RM 2.00. Sediakan duit yang cukup. Tiada perkhidmatan TouchNGo disini.
Saksikan video laluan tersebut.
Aku berhenti solat jumaat di Masjid Loging sambil mengambil feel untuk dinihari esok.
Aku menginap di Hotel Copthorne, Kea Farm, Brinchang. Aku persiapkan segala kelengkapan untuk esok. Set jam pukul 2:00 pagi dan terus tidur.
03 Jan 2026
Allahukbar!!! Aku terlewat bangun, jam 3:00 pagi baru tersedar wei. Mandi, bersarapan ringkas dan terus memecut ke tempat berkumpul. Aku sampai jam 4:00 pagi di parking hikers bersebelah dengan masjid; berdebar aku apabila nampak semua orang sudah berkumpul tapi mujur ada juga yang lewat sampai; Geng Sakinah dan Sofie.
Aku terus ke tempat berkumpul untuk mendengar briefing mengenai hiking. Semasa aku sampai, Gogo Shaz menyampaikan taklimat ringkas. Crew Hafiz, seterusnya membacakan doa sebelum memulakan perjalanan. Setelah siap briefing, aku mendaftarkan diri dan diberi buff pink yang menarik.
Aku tidak sempat bergambar tapi gambar ini dikongsi dalam group
Powil yang pertama (Powil 1) sampai dalam pukul 4:30 pagi membawa 32 orang line-ups. Sejam kemudian, tibalah team ke-2 untuk menaikinya pada pukul 5:30 pagi (Powil 2). Aku dan Kies menunggu di perkarangan masjid sambil menunggu masuk waktu subuh.
Suhu sangat sejuk, aku tak tahan. Disebelahku, Ewan memeluk tubuh kesejukan; hanya 2 biji mata sahaja yang nampak. Dia memakai 3 lapis baju. Aku mencapai gelas dalam bag hikingku dan mengambil air panas dari mesin coway yang berada disitu. Memang berasap-asap mulut.
Setelah menunaikan solat subuh secara berjemaah, kami terus menuju ke pondok di tepi masjid dimana powil ke-3 sudah menunggu kami disana.
1. Masjid Loging - Kebun Joe (Powil)
Kami bergerak menaiki Powil ke-3 (terakhir) pada pukul 6:45 pagi. Bayangkan kami berdiri secara beramai-ramai dibelakang sambil memegang handrail ditepi-tepi. Seperti ini.
Perjalanan menuju ke Kebun Joe sejauh 7km, mengambil masa 30 minit untuk sampai; so kalau 2 hala sejamlah jawabnya untuk menunggu.
Aku agak lambat menaiki Powil gara-gara ke tandas untuk kencing selepas solat subuh menyebabkan tiada ruang untuk aku mengapaikan tangan untuk berpegang pada handrail, jadi aku terpaksa bersila di lantai powil. Mujur tiada yang terjatuh; kalau tak; terpenyet lah aku jadi roti canai.
Kami sampai di Kebun Joe pada pukul 7:15 pagi.
2. Kebun Joe - Pintu Rimba (Trailhead)
Setelah sampai di Kebun Joe, kami membuat sedikit keregangan sebelum memulakan perjalanan. Ada yang ke tandas di Kebun Joe semasa itu. Hari agak cerah, berbeza dengan hiking ku sebelum ini dalam suasana gelap. So headlight tidak digunakan hanya terhias diatas kepala tanpa dinyalakan.
Perjalanan dimulai pada pukul 7:30 pagi yang mana crew bernama Syuk menjadi ketua bagi team Powil 3. Syuk telah mengarahkan Crew Am untuk lead dihadapan manakala Crew Liana dan Epul menjadi sweeper bagi group kami. Am yang berumur 28 tahun mengalas bag seberat 22kg dengan muatan barang-barang untuk memasak dan kayu api.
Pemandangan Kebun Joe dari Pintu Rimba
Jarak perjalanan ke Pintu Rimba dalam 300m yang mengambil masa 15-20 minit untuk sampai. Aku memang berada dibelakang Am sepanjang perjalanan ini. Kami berhenti seketika disini untuk mengambil gambar.
3. Pintu Rimba - Kem Tudung Periuk
Jarak perjalanan section ini sejauh 2.3km. Anda harus melalui 6 buah puncak tipu (False Peak). Masa yang diperlukan untuk menamatkan section ini bergantung kepada pace masing-masing kalau; Laju - 1.5-2.0 jam; Santai - 3 Jam, Pewai - 4 Jam dan Bersepai - 5 jam. Kondisi semasa juga memainkan peranan; malam/siang, hujan dan panas mempengaruhi kelajuaan anda.
False Peak 01 (FP01)
FP01 terletak 20 minit dari Kebun Joe. Kami tidak berhenti disini. Anda akan melalui satu jurang atau gaung yang sangat dalam; dengan ketinggian mencecah 50-100m. Ini merupakan killing point apabila anda pulang nanti; anda harus panjatnya setelah berhempas pulas untuk sampai ke sini. Inilah landmark, bahawa anda menghampiri garis penamat.
Untuk pengetahuan anda boleh dapatkan rangkaian celcom sini.
False Peak 02 (FP02)
Perjalanan diteruskan sehingga False Peak 02. Pergerakan kami santai-santai sambil melihat pemandangan hutan berkabus di siang hari.
Kami bergambar disini seketika
False Peak 03 (FP03)
Jarak FP02 - FP03 hanya 15 minit perjalanan sahaja.
False Peak 04 (FP04)
Perjalanan sedikit jauh dibandingkan yang sebelum; jaraknya 30-40 minit hiking. Line Umobile boleh dicapai disini.
False Peak 05 (FP05)
Perjalanan diteruskan selama 25-35 minit untuk sampai di FP05. Landmarknya adalah dahan pokok yang sangat cantik. Ramai yang mengambil gambar diatas dahan ni. Aku tak pasti bilakah ada orang letak kasut diatas dahan tu.
False Peak 06 (FP06)
Perjalanan diteruskan selama 25 minit untuk sampai di FP06. Sekiranya anda sampai di FP06 bermakna anda sudah menghampiri Kem Tudung Periuk
Line Celcom ada di kawasan sekitar ini.
Kem Tudung Periuk
Jarak FP06 ke Kem Tudung Periuk sejauh 15 minit hiking. Akhirnya kami sampai di Kem Tudung Periuk pada pukul 9:45 pagi. Terdapat ramai line-up yang telah berkumpul di sini, mereka dari Group Powil 2 dan 1.
Crew Qayyum telah siap menaikkan khemah untuk memasak disini.
Alhamdullilah, group kami agak laju juga kerana berjaya merapat dengan group Powil 2. Aku mengeluarkan onigiri salmon ku untuk sarapan. Kami berehat seketika disini. Crew Nina dengan payungnya, ala-ala baba nyonya telah membuat announcement; bagi yang nak bergerak dahulu sila berkumpul; 20 orang sahaja yang diperlukan. Apa lagi, aku terus bergerak kehadapan, misi ku untuk sampai ke puncak secepat mungkin.
4. Kem Tudung Periuk - Simpang Air Terjun Pelaur
Jaraknya hanya lah 500m sahaja dalam masa 30 minit. Selepas Kem Tudung Periuk anda akan menuruni curam sedalam 30m kebawah; sebelah atas tanah merah dan bahagian bawah berbatu. Terdapat 2 line tali untuk berpegang; malangnya talinya sangat kecil; macam tali layang-layang. Aku tidak syorkan untuk memegangnya.
Dibawahnya terdapat denai air yang sangat sejuk dan jernih.
Anda boleh mengisi bekalan air disini. Kalini anda harus memanjat tebing setinggi turun tadi (membentuk seakan parit yang dalam). Apabila sampai ditebing sebelah sana, anda akan bergerak beberapa meter dan sampai ke gaung yang kedua tetapi yang ini tiada air. Inilah Simpang Kem Air Terjun Pelaur. Laluan Air Terjun Pelaur berada disebelah kiri anda; biasanya diletak barrier tape ataupun kayu bersilang untuk mengelakkan hiker yang mahu ke puncak tersalah jalan
Terdapat batu-batu besar disini. Biasanya hikers yang turun ke Air Terjun Pelaur akan meninggalkan bag besar mereka diatas batu ini.
5. Simpang Air Terjun Pelaur - Kem Kasut
Ini adalah section yang terpanjang dan mengambil masa yang agak lama untuk dihabiskan. Environment juga agak berubah; kawasan disini dipenuhi dengan lumut-lumut (mossy) yang sungguh cantik tapi anda harus berhati-hati kerana kawasannya juga banyak kawasan lumpur yang agak dalam (paras betis).
Anda akan menemui Check Point (CP) Garden Mossy dikawasan ini. Kawasan ini menjadi tempat utama hiker untuk bergambar kerana hutan mossy yang sungguh cantik.
Sebelum sampai di Kem Kasut anda akan lewati Check Point (CP) Scam yang terletak 25-35 minit dan signboard Last Lap, 10 minit sebelum Kem Kasut.
Perjalanan yang mempersonakan ini mengambil masa selama 2 jam perjalanan. Aku mempercepatkan hayunan kaki sehingga merapat ke team hadapan sekali yang mana Crew Nad yang lead rombongan ini. Aku dan Fitri berada rapat di belakang Nad. Yang kelakarnya Si Fitri bawa bag besar (60L) yang dimasukkan sebiji buah durian; bau duriannya semerbak dalam hutan tu. Lama-lama menyebabkan kepala ku pening dibuatnya.
Akhirnya kami sampai pada pukul 12:20 tengahari di Kem Kasut. Kami berehat seketika disini. Kami berempat yang terawal sampai disini Crew Nad, Fitri, Aku dan Crew Yoko. Semasa aku sampai, aku bertemu dengan CM; Guide yang aku temui bulan lepas yang membawa 3 orang line-ups.
Aku bergambar di sini sebagai kenang-kenangan.
6. Kem Kasut - Puncak YB
Fitri dari tadi tidak sabar-sabar untuk naik terus ke puncak. Crew Nad memberi greenlight kepada kami berdua untuk naik terlebih dahulu. Aku cakap "No hal, lets go!" so kami berdua naik. Aku membiarkan Fitri untuk lead, aku jadi sweeper jer. Aku masih menghafal laluan dan step di sini; so aku tak rasa pun tercungap-cungap.
Di sini terdapat 3 section yang sangat kejam (KFC - Killing Fitness Center)
KFC 1
KFC 2
KFC 3
Fitri lost energy kat sini. Dia menyuruh aku lead pulak. Kalini aku tukar ke AWD dan tekan minyak rapat; panjat dan terus panjat dengan pantas sehingga meninggalkan Fitri jauh. Aku berhenti seketika menunggunya tapi beliau tak muncul-muncul juga. Aku meneruskan perjalanan sehingga ke section Last Corner.
Last Corner
Di kawasan last corner ini terdapat jaringan akar-akar yang sangat luas; di mana ditengah-tengah berlumpur dalam. Ia seakan-akan membentuk sebuah spider web yang besar; yang mana menunggu mangsanya terjatuh disitu.
Akhirnya aku sampai di Puncak YB pada pukul 1:30 petang.
Aku menghamparkan ground sheet dan menaikkan flysheet ku. Aku berehat seketika di sini. Semasa aku sampai terdapat satu group seramai 10 orang yang guidenya yang berasal dari Perak berbual-bual dengan ku. Beberapa ketika Fitri sampai dan seterusnya diikuti Irina, Nad, Yoko dan yang lain-lain tiba.
Aku membuka stove dan aku masak air untuk menghilangkan kedinginan. Aku mengeluarkan makanan yang ada; pisang, onigiri dan kurma sebagai habuan tengahari ku. Aku terus menunaikan solat jamak qasa Zohor dan Asar di puncak, bimbang terlewat sampai nanti di Kem Tudung Periuk.
Kami mengambil kesempatan untuk bergambar disini
Setelah berehat 1jam setengah, kami bergerak turun pada pukul 3:00 petang. Target kami seterusnya adalah Kem Tudung Periuk untuk makan malam. Semasa turun itu aku agak lambat untuk pack balik groundsheet dan flysheet. Fitri guide turun kebawah; mungkin disebabkan mabuk bau durian, Fitri tersalah jalan menyebabkan semua tersalah mujurkan ada Irina yang perbetulkan balik.
Aku sampai di Kem Kasut pada pukul 3:50 petang. Terdapat ramai member yang sedang berkampung di Kem Kasut, mereka baru sampai disitu dan sedang berehat. Aku meneruskan perjalanan turun dan perlajukan langkah untuk sampai di Kem Tudung Periuk sebelum Maghrib.
Aku berada dibelakang Irina yang sangat laju semasa downhill. Aku layan sahaja secara santai sehinggalah Irina menunggu aku dihadapan; kami berdua meneruskan perjalanan sehinggalah Simpang Kem Pelaur dan Denai di Kem Tudung Periuk. Kami berhenti disini, ketika itu waktu menunjukkan 5:50 petang, untuk kencing dan mengambil wuduk.
Kami memanjat kembali tebing dan akhirnya sampai Kem Tudung Periuk. Kami berhenti untuk makan makan; menunya Chicken Chop YB, French Fries, Coleslaw. Woww sungguh menarik. Terima kasih daun keladi.
Setelah menjamu selera; kami meminta izin untuk turun lebih awal memandangkan hari masih cerah dan awal. Crew Qayyum membenarkan kami turun; apa lagi; kami bersiap-siap dan memulakan perjalanan turun pada pukul 6:45 petang. Fitri juga turun tapi bersama dengan Ain yang mengalami kecederaan pada lutut.
Kami meneruskan perjalanan sehingga Pintu Rimba. Kami sampai pada pukul 8:15 malam dan meneruskan perjalanan ke Kebun Joe sepuluh minit kemudian. Irina terus bertemu dengan driver powil untuk menghantar kami berdua pulang. Aku sudah tahu jawapannya; tapi aku biarkan Irina bertanya.
Idea Irina semakin bernas disaat-saat kepenatan ni. Dia bertanya dengan pekerja Kebun yang mempunyai motor untuk membocengkan kami berdua sampai ke masjid. Semua idea tak jalan, last-last kami yang jalan.
Dengan confident Irina memberitahu aku jarak perjalanan dari Kebun Joe ke Masjid hanyalah 4km sahaja tapi aku sudah lama membuat research mengenai jarak tersebut, perjalanannya adalah 7km yang mengambil masa 2 jam.
Aku memulakan perjalanan pada pukul 8:36 malam; berbekalkan lampu di kepala kami mengharungi malam yang gelap gulita, dari satu kilometer ke kilometer seterusnya. Tiba-tiba Irina bertanya, "Betul ke jalan kita ni?". Aku kata mana ada simpang lain pun, ini je jalannya. Perasaan cuak mulai menyelubungi kami; adakah kami sekarang hiking Gunung Brinchang ataupun Irau?...Hehehe
Dalam dok pening-pening tu; tiba-tiba terlihat cahaya dari arah belakang menghampiri kami. Bila sampai, rupanya seorang Pakistani jual karpet dan buah-buahan dalam perjalanan pulang. Irina cuba deal dengan beliau untuk menumpangkan kami berdua. Aku masih teringat raut wajahnya seakan kepucakan mungkin dia ingat kami ni hantu pocong kat tengah jalan.
Nahi..Nahiii
Jadi terpaksa lah kami meneruskan perjalanan dengan berjalan kaki tapi satu yang kami pasti; jalan yang kami lalui sekarang ini adalah betul. Kami terlihat signboard 2 km dan seterusnya 1 km...Alhamdullilah... sehinggalah kami melihat cahaya kemerahan di langit hasil dari pancar lampu jalan. Mau kami sujud syukur disitu.
Akhirnya kami sampai di masjid pada pukul 10:15 malam. Video temuramah Irina
Kami singgah di stall Abe Dee ditepi masjid untuk minum Teh O Kosong panas-panas sambil memperbetulkan urat-urat. Irina pula sibuk mencari hotel di Agoda untuk dia menginap malam ni.
Setelah selesai kami terus beredar ke hotel masing-masing.
Comments
Post a Comment